2010年8月11日星期三

Lagi Ahli MPK salah guna kuasa : Keluar surat sokongan untuk dapatkan projek bagi syarikat milik suami

KLANG: Seorang lagi Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan surat sokongan untuk permohonan mendapatkan projek di bawah beberapa jabatan MPK bagi kepentingan peribadi.

Ketua MCA Bahagian Kapar, Datuk Soong Kee Chai, berkata ahli majlis berkenaan dilantik di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk penggal kedua tahun ini.

Sejak tahun lalu, dia sudah mengeluarkan lebih empat surat sokongan untuk syarikat milik suaminya bagi mendapatkan tender projek di bawah jabatan kejuruteraan, taman dan rekrea-si, alam sekitar serta jabatan penilaian dan pengurusan harta.

Melalui beberapa individu yang tahu mengenai kegiatannya, syarikat milik suaminya berjaya mendapat beberapa tender bernilai lebih RM20,000 setiap satu melalui proses sebut harga sejak 2009, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Soong turut mendakwa pernah melihat sekurang-kurangnya empat surat sokongan dikeluarkan ahli majlis berkenaan yang pernah menjadi anggota lembaga tender MPK bagi menyokong permohonan dikemukakan syarikat suaminya.

Beliau membuat satu laporan polis berhubung perkara itu tengah hari semalam, selain berhasrat melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini agar siasatan dapat dilakukan.

Katanya, kerajaan pakatan pembangkang sewajarnya melakukan siasatan terperinci berhubung latar belakang ahli majlis bakal dilantik agar tidak wujud sebarang konflik kepentingan peribadi.
Difahamkan, syarikat milik suami ahli majlis berkenaan yang berpejabat di Meru didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak Mei 2008 untuk menjalankan kerja pembersihan.

Pada 27 Julai lalu, akhbar melaporkan seorang ahli MPK, Tee Boon Hock didakwa menggunakan kepala surat Exco Selangor, Ronnie Liu dan menulis surat sokongan bagi mendapatkan kontrak untuk kroni dan ahli keluar-ganya.

Sehubungan itu, DAP memecat Tee yang didakwa mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat bagi menjalankan projek di bawah MPK sejak dilantik menjadi ahli majlis pada Julai 2008.